mutakhir

'Drebar pengsan masa buat report'

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

POLIS ambil keterangan pemandu wanita warga emas untuk bantu mencari punca gerai di Lorong Baru, Jalan Macalister, Georgetown, dilanggar kereta, semalam.

Kemalangan itu menyebabkan pejalan kaki wanita parah manakala tiga lagi cedera dilanggar kereta itu ketika makan di gerai itu pada kejadian 6.35 petang.

Wanita berusia 70 tahun itu tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, wanita itu sebenarnya sudah datang ke IPD Timur Laut dengan ditemani suaminya, semalam.

Bagaimanapun, katanya, wanita itu pengsan ketika membuat laporan dan kemudiannya dihantar ke klinik untuk rawatan serta pemeriksaan lanjut.

Katanya, wanita itu kemudian hadir semula ke IPDTL, pada kira-kira 10 pagi ini, untuk membuat laporan dan keterangannya diambil untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dalam keadaan cuai sehingga mendatangkan kecederaan terhadap orang lain.

"Sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.

Berita berkaitan

Tengah makan kena langgar [METROTV]

Disiarkan pada: May 20, 2017 @ 2:04pm
d