mutakhir

'Kemah...moga bahagia sokmo'

Oleh Siti Nadzirah Che Mud

SEMBILAN pasangan pengantin bersanding dalam majlis penuh meriah dengan kehadiran lebih 3,000 tetamu termasuk ahli keluarga yang diadakan di Dewan Sri Guchil, Kuala Krai, hari ini.

Persandingan Perdana Puteri dan Pemuda Kuala Krai 2017 yang julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Pergerakan Puteri dan Pemuda UMNO bahagian Kuala Krai.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO bahagian Kuala Krai, Zuraihah Mohammad berkata, pasangan berkenaan dipilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan dan mereka adalah pasangan yang berkahwin, namun masih belum melangsungkan majlis resepsi kerana tidak berkemampuan.

"Sembilan pasangan pengantin itu tinggal di sekitar daerah Kuala Krai dan ada di antara mereka yang sudah berkahwin sejak tahun lalu, namun masih belum melangsungkan majlis resepsi.

"Program ini adalah kali pertama diadakan dan saya gembira apabila ia mendapat sambutan menggalakkan serta terharu apabila melihat sinar kegembiraan di wajah mereka," katanya ketika ditemui di majlis itu.

Turut hadir, Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO malaysia,Datuk Zahida Zarikh Khan dan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azam Ismail.

 

Disiarkan pada: May 20, 2017 @ 5:13pm
d