mutakhir

1,743 murid, pelajar terjebak

Oleh Norizzah Baharudin

Melaka: Sebanyak 1,743 murid dan pelajar sekolah rendah serta menengah seluruh negara termasuk kanak-kanak seawal usia tujuh tahun dikesan terjebak dengan penyalahgunaan dadah sepanjang tahun lalu.

Pengarah Bahagian Pencegahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Abdul Rahman Hamid berkata, angka itu membabitkan mereka yang berada di 400 buah sekolah dengan pecahan tertinggi sekolah di Kedah, diikuti Kelantan dan Perak.

“Selain 400 sekolah ini, terdapat kira-kira 1,600 sekolah lagi yang turut berisiko terdedah kepada dadah kerana terletak di kawasan berhampiran sekolah yang mempunyai kes dadah.

“Kebanyakan murid dan pelajar sekolah ini dikesan positif syabu, malah hasil siasatan kami ada dalam kalangan mereka terjebak dengan dadah seawal usia tujuh tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas operasi bersepadu bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bermula jam 3 petang hingga jam 8 malam dalam kawasan ladang sawit di Sungai Udang, di sini, semalam.

Menurutnya, selain Kementerian Pendidikan, AADK turut bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi memantau isu penagihan dadah dalam kalangan pelajar.

“Berdasarkan siasatan, alasan masalah keluarga paling kerap diberikan pelajar yang terbabit dengan dadah dengan kebanyakkan mereka berusia antara 14 dan 16 tahun,” katanya.

Sementara itu, Dalam Ops berkenaan, pihak berkuasa menahan 14 lelaki berusia antara 31 tahun hingga 57 tahun.

Disiarkan pada: May 21, 2017 @ 7:48am
d