mutakhir

Dapur meletup

Oleh Nor Amalina Alias

Kota Bharu: Seramai 40 pelanggan yang menjamu selera terpaksa meninggalkan makanan mereka selepas sebuah restoran dan dua rumah terbabit dalam kebakaran di Ketereh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.45 malam, kebakaran dipercayai berpunca daripada bahagian dapur sebuah rumah sebelum merebak ke sebuah rumah dan restoran berkenaan.

Saksi kejadian, Razlan Che Rahim, 29, berkata, ketika kejadian dia mencuci pinggan mangkuk sebelum terdengar beberapa dentuman kuat seperti bunyi mercun.

Katanya, dia kemudian meninjau di bahagian belakang kedai sebelum melihat api marak di bumbung sebuah rumah.

“Pelanggan ada yang tidak sempat makan terus lari menyelamatkan diri dan pekerja bergegas menyelamatkan barang restoran,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Razlan yang juga pekerja restoran berkata, beberapa pelanggan dan pekerja cuba memadamkan kebakaran, namun gagal kerana api terlalu marak.

Difahamkan ketika kejadian, pemilik rumah keluar berniaga di Pasar Malam Melor, di sini, sementara penyewa sebuah lagi rumah pulang ke kampung halaman. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad turut melawat lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Penolong Penguasa Bomba Mohd Rafain Mat Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.56 malam.

Katanya, tiga jentera bersama 17 anggota termasuk dari Balai Bomba Kota Bharu dan Balai Bomba Tunjong serta bomba sukarela terbabit dalam operasi memadam kebakaran.

“Api cepat merebak daripada rumah pertama ke rumah kedua sebelum membakar sebuah restoran berdekatan.

“Kami menjalankan usaha memadam kebakaran yang mengambil masa selama tiga jam dan api padam sepenuhnya pada jam 1.20 pagi,” katanya sambil menambah punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: May 21, 2017 @ 7:57am
d