mutakhir

Sasar seorang doktor gigi kepada 3,000 penduduk

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

KEMENTERIAN Kesihatan berusaha mencapai sasaran nisbah seorang doktor gigi kepada 3,000 penduduk, tahun depan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, antara usaha dilakukan adalah mengambil doktor gigi secara kontrak bagi mengatasi kekurangan dihadapi.

Menurutnya, graduan dalam bidang pergigian semakin meningkat dan ramai yang sudah menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara.

"Berdasarkan kajian yang dibuat sehingga Disember 2016, nisbah yang ada sekarang ini adalah seorang doktor gigi kepada 4,391 penduduk.

"Setakat ini, permintaan melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan semakin pesat. Kita berharap kehadiran ramai graduan dalam bidang itu membantu mencapai sasaran," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Kolaborasi Kesihatan Pergigian bersama Badan Agama Buddha Peringkat Kebangsaan di Taman Blossom, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kanan Kesihatan Pergigian Dr Noor Aliyah Ismail dan Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Dr Zainudin Mohd Ali.

Disiarkan pada: May 21, 2017 @ 1:49pm
d