mutakhir

'Bila dia keluar, saya pun tak perasan'

Oleh Yusmizal Dolah Aling

"SAYA nafikan tuduhan orang ramai yang saya lalai sehingga anak saya maut. Itu tidak betul kerana pada hari itu (Jumaat), kami bersama-sama berada di dalam rumah dan kejadian itu sungguh pantas.

"Kami sama-sama demam dan selepas makan ubat, saya berehat dan dia juga berehat di dalam rumah. Bila dia keluar saya pun tak perasan," kata Mat Isa Mohd Wadi.

Anaknya, Muhammad Nazirul Nasyat, 9, maut akibat terjatuh dari tingkat 10 Pangsapuri Mawar, Selayang Mulia, Gombak, Jumaat lalu, ketika bermain bersama rakannya di rumah mereka.

Katanya, dia kesal apabila ada pihak yang menuduhnya lalai dan tidak memantau pergerakan anak menyebabkan tragedi itu berlaku.

"Anak saya sudah tiada. Sebagai ayah, saya reda walaupun sukar terima hakikat ini. Dia anak syurga. Jadi saya minta masyarakat yang tak tahu apa-apa, jangan buat tuduhan macam-macam," katanya yang menerima kunjungan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar, hari ini.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, Muhammad Nazirul Nasyat dikatakan main kejar-kejar bersama rakannya dari tingkat sembilan ke tingkat 10 pangsapuri berkenaan.

Bagaimanapun ketika sampai di tingkat 10, rakan mangsa berusia enam tahun dikatakan masuk ke dalam rumah manakala mangsa terus mencari rakannya sebelum dia ditemui terjatuh di tingkat bawah perumahan berkenaan.

Disiarkan pada: May 21, 2017 @ 6:06pm
d