mutakhir

Akhirnya Asif Rifqi pergi jua

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

SELEPAS hampir 20 hari Muhamad Asif Rifqi Mohd Azizi yang berusia tiga bulan menghidap pelbagai penyakit kronik, termasuk jantung berlubang, paru-paru dan jangkitan kuman pada otak, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, kira-kira 8.30 malam tadi.

Ibunya, Normala Isa, 38, berkata ketika menjenguk anak lelakinya pada 5 petang tadi, keadaan Asif dalam keadaan stabil sebelum pulang kira-kira 7 malam.

Bagaimanapun katanya, pada 8 malam tadi, dia menerima panggilan daripada hospital memberitahu anaknya dalam keadaan tenat.

"Sebaik menerima panggilan itu, saya dan suami (Mohd Azizi Salleh, 33) bergegas ke hospital, namun doktor yang merawat mengesahkan Asif sudah meninggal dunia.

Normala berkata, jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Perol, Nilam Puri, hari ini.

Harian Metro pada 6 Mei lalu, melaporkan Asif yang dilahirkan tidak cukup bulan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan selain menghidap pelbagai penyakit kronik termasuk jantung berlubang, paru-paru dan jangkitan kuman pada otak.

Selepas dilahirkan tidak cukup bulan, bayi itu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) HRPZII selama dua bulan.

Tidak sampai dua minggu Asif dibawa pulang ke rumah, pada Ahad lalu dia terpaksa membawa anaknya itu kembali ke hospital selepas diserang sawan.

Disiarkan pada: May 22, 2017 @ 12:25am
d