mutakhir

Alasan tak cerdik

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

Kuala Lumpur: Amalan mengutip wang perlindungan dalam kalangan agensi penguat kuasa sepatutnya sudah berakhir.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkata, perbuatan keji dilakukan segelintir pegawai dan anggota penguat kuasa memberikan persepsi negatif kepada pasukan.

“Amalan mengutip wang perlindungan dalam kalangan penguat kuasa sudah lama berlalu. Disebabkan mereka, walaupun banyak kejayaan diperoleh seperti berjaya menurunkan indeks jenayah, persepsi terhadap jabatan tidak naik.

“Ini saya katakan, kerana nila setitik dua ini, rosakkan susu sebelanga,” katanya ketika berucap menutup Program Kembara Media Kementerian Dalam Negeri (KDN) 2017, di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd, Datuk Abdul Jalil Hamid, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar dan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Badrulhisham Othman.

Menurutnya, ada laporan mengatakan gejala rasuah itu masih menular kononnya untuk menanggung perbelanjaan bagi meraikan pegawai atasan yang turun melawat anggota bawahan, khususnya di peringkat daerah.

“Ini alasan tidak cerdik kerana bercanggah dengan pendirian anggota penguat kuasa yang diberi amanah untuk memikul tanggungjawab melindungi negara dan masyarakat.

“Tindakan pegawai atasan membuli anggota bawahan juga perlu dihentikan kerana amalan ini menjurus kepada perlakuan menghalalkan rasuah dalam kalangan unit beruniform,” katanya.

Terdahulu, seramai 84 pengamal media membabitkan 21 kenderaan menyertai program mencari harta karun Kembara Media KDN dari Putrajaya ke ibu kota.

Program yang julung kali diadakan itu membabitkan peserta dari pelbagai organisasi media antaranya The New Straits Times Press (M) Bhd (Harian Metro/ Berita Harian/ New Straits Times), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Radio Televisyen Malaysia (RTM), BERNAMA News Channel, Media Prima, Astro Awani, Malay Mail, The Sun, Sinar Harian, The Star, Utusan Malaysia dan Focus Malaysia.

Disiarkan pada: May 22, 2017 @ 1:21pm
d