mutakhir

Tak perlu ke balai

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Tidak perlu lagi bersusah payah pergi ke balai polis untuk membuat laporan berikutan semuanya kini boleh dilakukan menggunakan telefon pintar.

Ini susulan pelancaran Sistem Laporan Polis Online
(e-Reporting) dan Sistem Semakan Online (SSO) oleh Polis Kontinjen Kuala Lumpur bagi memudahkan orang ramai membuat laporan bagi kes bukan jenayah.

Bagaimanapun sistem itu terhad kepada warga negara Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas selain kes yang dilaporkan tidak membabitkan kes jenayah atau tidak memerlukan siasatan lanjut oleh polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, antara kes yang dibolehkan menggunakan e-Reporting adalah kehilangan MyKad dan pasport, lesen memandu, hilang telefon pintar atau pembantu rumah lari.

Beliau berkata, pengguna yang mahu menggunakan perkhidmatan itu perlu mendaftar terlebih dulu di laman web disediakan iaitu ereporting.rmp.gov.my.

“Pengguna juga boleh mencetak sendiri laporan polis yang dibuat dari laman web berkenaan.

“Melalui perkhidmatan yang disediakan ini, pengguna tidak perlu lagi ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kehilangan dokumen,” katanya pada Program Menembak Polis KL bersama Media di Markas Briged Tengah, Cheras, semalam.

Amar Singh berkata, sehingga April tahun ini pihaknya menerima 168,274 laporan polis di 24 balai polis dan enam daerah di bawah pentadbiran polis kontinjen Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: May 22, 2017 @ 2:07pm
d