mutakhir

'Saya tidak pernah terima sumbangan seperti ini'

Kuala Lumpur: “Ini sumbangan pertama saya terima sepanjang hidup. Saya tidak pernah terima seperti ini sebelum ini,” kata Rodziah Chumat Jadi, 65.

Rodziah adalah seorang daripada 135 penerima sumbangan Nur Ramadan anjuran UMNO Cawangan Kampung Limau, Lembah Pantai bersama Lulu Hypermarket & Department Store, Jakel dan Adabi yang diadakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, semalam.

Sumbangan diberikan berupa barangan keperluan dapur, baucar dan pakaian hari raya.

Majlis dirasmikan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin.

Ibu tunggal kepada dua anak itu berkata, dia terharu apabila terpilih untuk menerima sumbangan berkenaan yang dianggap terlalu bermakna kepadanya.

“Hidup saya susah dan hanya bergantung hidup dengan wang bantuan bulanan daripada Baitulmal serta Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

“Anak sulung dikategorikan orang kurang upaya (OKU) dan bongsu pula menghidap penyakit asma kronik.

“Mereka hanya mampu bekerja mencari barangan terpakai untuk dijual bagi mendapatkan wang menampung hidup,” katanya.

Ibu tunggal itu berkata, dia tidak boleh bekerja kerana menghidap pelbagai penyakit seperti jantung, buah pinggang, hempedu dan darah tinggi.

Katanya, dia akan menjalani pembedahan membuang hempedu
di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas Aidilfitri.

Disiarkan pada: May 22, 2017 @ 2:11pm
d