mutakhir

Harap ihsan

Oleh Shahrinnahar Latib

Kuantan: Maahad Tahfiz Al-Quran Ibtida Ad-Diniyyah di Indera Mahkota memerlukan RM10,000 bagi menampung keperluan pelajar sepanjang Ramadan yang bakal disambut tidak lama lagi.

Pengasas maahad berkenaan, Siti Fatimah Teh, 45, berkata, dana berkenaan bertujuan bagi penyediaan hidangan bersahur dan berbuka puasa bagi pelajar dan guru di maahad itu.

Katanya, melalui sumbangan itu pihaknya turut membuka peluang kepada masyarakat yang ingin membuat amal jariah melalui penajaan sama ada berbuka puasa atau bersahur.

“Kami baru setahun setengah beroperasi dan ini adalah sambutan Ramadan kedua bagi pelajar dan guru di sini.

“Kami menggalakkan semua pihak sama ada individu, berkumpulan atau pun syarikat korporat menaja majlis berbuka puasa bagi 24 pelajar yang sedang menuntut di sini termasuk beberapa tenaga pengajar.

“Kami menganggarkan kos sahur dan berbuka adalah kira-kira RM10 seorang sehari, namun ia terpulang dan bergantung kepada mana-mana pihak itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, dalam menguruskan pusat tahfiz yang masih baru, banyak perkara perlu dititikberatkan terutama ketika berdepan soal kewangan.

“Namun begitu dengan sumbangan dan keprihatinan banyak pihak, Alhamdulillah pelajar di sini dapat memberikan fokus terhadap pembelajaran dan hafazan mereka.

“Pelbagai perancangan diatur bagi memantapkan lagi sumber kewangan untuk membantu pusat tahfiz ini berjalan dengan lancar.

“Pusat tahfiz ini sudah berdaftar dengan Gabungan Pusat Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) dan sudah banyak mendapat kerjasama bagi memantapkan lagi pembelajaran di sini,” katanya.

Justeru, sumbangan daripada mana-mana pihak boleh disalurkan terus ke Maahad Tahfiz Al-Quran Ibtida Ad-Diniyyah, di alamat No 16 Lorong IM2/78, Indera Mahkota 2 atau melalui Akaun Bank Muamalat 06010003960717.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Mudir Syed Danial Faliq Syed Talib di talian 017-9019529.

Disiarkan pada: May 22, 2017 @ 2:12pm
d