mutakhir

Tokan, penagih dicekup beramai-ramai

Oleh Shamsudin Husin

DADAH jenis morfin dan syabu yang dianggarkan bernilai RM500 dirampas daripada dua tokan dalam dua serbuan berasingan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Seri Bandi, Chukai, pagi hari ini.

Dua tokan berkenaan yang berusia 39 dan 42 tahun itu ditahan bersama 21 penagih dalam serbuan di dua ‘markas’ penagihan dadah di kawasan itu pada 7.30 pagi dan setengah jam kemudian.

Penolong Pengarah Kanan AADK Terengganu Wan Jalani Wan Ismail berkata, operasi khas itu disertai seramai 35 pegawai dan anggota AADK.

Menurutnya, mereka menemui 82 paket dadah dipercayai syabu dan 112 paket dadah jenis morfin dalam beg sandang milik salah seorang tokan berkenaan.

Katanya, pemeriksaan terhadap seorang lagi tokan turut menemui 103 paket dadah dipercayai jenis morfin selain sebanyak 27 paket syabu.

"Semua penagih berusia 29 hingga 40 tahun yang ditahan kemudiannya dibawa ke Pejabat AADK Cawangan Kemaman untuk mendapatkan perintah tahanan reman selama 14 hari mengikut Seksyen 31 Akta Pencegahan Dadah dan Pemulihan 1983 manakala dua tokan itu pula diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Disiarkan pada: May 22, 2017 @ 5:33pm
d