mutakhir

MAIM izin pindah 10 kubur lama

Oleh BERNAMA

SEMUA pemindahan kawasan perkuburan Islam di Melaka diputuskan di peringkat Jawatankuasa Fatwa negeri sebelum diberi kelulusan berdasarkan kewajarannya

Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil berkata, pemindahan kawasan perkuburan perlu dilakukan mengikut proses ditetapkan dan kelulusan itu bersyarat.

"Antara sebab dipertimbangkan, kubur itu berada dalam kawasan tanah persendirian dan kawasan perkuburan terbabit dalam pembangunan seperti pembesaran jalan, mendirikan sekolah atau hospital.

"Keadaan ini mengharuskan pemindahan kubur dilakukan kerana terdapat keperluan dan kewajaran yang perlu diambil kira," katanya selepas majlis perasmian Seminar Ahlan Yaa Ramadan 1438H/2017M dan Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah dan Saham Wakaf di sini, hari ini.

Menurutnya, proses pengalihan jenazah dipantau Bahagian Wakaf MAIM, Jabatan Mufti, Jabatan Kesihatan dan polis bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, MAIM meluluskan pemindahan lebih 10 kubur lama di tiga lokasi di daerah Melaka Tengah iaitu di Tanjung Kling, Batu Berendam dan Paya Rumput.

Antara kubur yang dipindahkan ialah milik pendakwah dan penentang penjajah British dikenali sebagai Nik Dayang berusia kira-kira 200 tahun di Kampung Hailam di Tanjung Kling.

"Kubur itu dipindahkan ke Tanah Perkuburan Islam Tanjung Kling oleh MAIM dan permohonan dibuat pemilik tanah bagi memajukan lokasi itu selain mengelak aktiviti amalan khurafat di kubur berkenaan berdasarkan penemuan mangkuk bara, pengikat tali dan colok," katanya.

Disiarkan pada: May 22, 2017 @ 10:47pm
d