mutakhir

Datuk diburu polis

Oleh Farah Suhaidah Othman

POLIS sedang mengesan beberapa individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk yang dipercayai terbabit dalam pencerobohan dan penjualan tanah milik kerajaan negeri menerusi laman sosial.

Difahamkan, kes pencerobohan dan penjualan membabitkan tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) seluas 41.96 hektar di Mukim Ulu Bernam, daerah Muallim.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak, Superintendan Lee Ewe Kiang berkata, siasatan awal mendapati suspek memberi kebenaran kepada penduduk kampung secara bertulis untuk meneroka sebahagian tanah berkenaan yang dipercayai diceroboh dan ditanam dengan pokok kelapa sawit.

"Pejabat Tanah Daerah Muallim akan dirujuk untuk mengesahkan status tanah berkenaan dan keterangan lanjut diteruskan untuk membantu siasatan.

"Siasatan masih diteruskan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 447 / 448 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan di Ipoh, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir kelmarin berhubung perkara itu.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, siasatan turut mendapati terdapat iklan penjualan tanah milik PPPNP seluas 121 hektar di Ladang Sayong Bekor, Mukim Senggang di Kuala Kangsar yang diiklankan menerusi laman sosial.

Katanya, tanah berkenaan dijual membabitkan enam kawasan dengan harga keseluruhannya dianggarkan bernilai RM6.6 juta.

"Sindiket berkenaan turut mempamerkan dokumen palsu termasuk geran dari Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Kangsar.

"Bagaimanapun tanah berkenaan tidak pernah bertujuan untuk dijual berikutan tanah itu adalah hak milik kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat penyebaran iklan berkenaan.

"Setakat ini tiada mangsa tampil membuat laporan berhubung penipuan itu dan siasatan masih diteruskan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya.

Disiarkan pada: May 22, 2017 @ 11:52pm
d