mutakhir

Perhatikan perubahan sikap

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

PERUBAHAN sikap atau tingkah laku murid dan pelajar di sekolah perlu diberi perhatian daripada guru besar sehinggalah guru.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan awal yang diambil golongan itu dapat mengenalpasti apa sebenarnya berlaku.

"Di sekolah ada guru besar, kaunselor, penolong kanan serta guru. Mereka boleh kenalpasti masalah dan perubahan murid sama ada sikap mereka riang, suka atau berdiam diri.

"Jika ada masalah seperti kemurungan ambil perhatian," katanya.

Beliau mengulas mengenai tindakan murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Andalas, Klang yang terjun dari tingkat tiga bangunan sekolah itu hari ini.

Kejadian itu menyebabkan murid terbabit cedera di kepala dan retak tulang leher.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, sekolah juga ada program sekolah selamat dan ia juga perlu diberi penekanan.

Beliau yang menyifatkan kejadian itu sebagai mendukacitakan berkata, pelbagai faktor boleh menyebabkan kejadian seperti itu berlaku antaranya keluarga, kemiskinan, pemakanan serta persekitaran.

"Apapun kita sedang siasat kejadian ini dan saya simpati dengan apa yang berlaku.

"Selain sekolah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga boleh mengambil inisiatif," katanya ditemui ketika merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Klang 2017 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pui Ying, di Klang malam tadi.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Mohd Salleh Kassim, Pegawai Pendidikan Daerah Klang, Adliyah Ramli serta lebih 200 guru sekitar daerah itu.

Pada majlis itu Mahdzir turut menyampaikan Tokoh Guru Daerah Klang 2017 kepada empat bekas guru iaitu Rosnah Ali, 64; Kamaruddin Mohd Diah, 64; Yap Kwee Eng, 68 dan D Balakrishnan, 64.

Sumbangan itu atas khidmat dan sumbangan kemasyarakatan mereka sepanjang berkhidmat.

Tokoh guru itu menerima wang tunai RM1,000, selempang dan sijil penghargaan.

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 12:44am
d