mutakhir

Kaji kontrak 2 tahun pegawai JASA

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

KERAJAAN sedia mengkaji cadangan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan kontrak pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) kepada dua tahun berbanding setahun sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan juga akan meneliti keperluan elaun bulanan khas RM300 kepada kakitangan kontrak JASA yang berkhidmat lebih 15 tahun tetapi tidak menerima kelayakan bersara.

"Kerajaan amat menghargai sumbangan serta peranan JASA kerana merekalah yang banyak menyumbang kepada kekuatan kerajaan yang memerintah negara ketika ini.

"Justeru, saya menyokong semua cadangan Datuk Dr Mohd Puad (Zarkashi) tetapi tetapi tertakluk kepada kelulusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Konvensyen Kebangsaan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) 2017 bertemakan Ke Arah Memenangi Majoriti 2/3 Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 di di Alor Gajah, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk OthmanMuhamad; dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Terdahulu, Mohd Puad dalam ucapannya meminta supaya tempoh kontrak kakitangan agensi itu dinaikkan kepada dua tahun seperti sebelum ini berbanding setahun ketika ini.

Selain itu, beliau turut memohon perhatian kerajaan agarmereka yang berkhidmat secara kontrak lebih 15 tahun menerima elaun khas tetap RM300 sebulan.

Konvensyen Kebangsaan JASA 2017 berlangsung selama tiga hari bermula semalam menghimpunkan seramai 942 orang pegawai JASA yang bertugas di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri seluruh negara.

habis

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 3:01am
d