mutakhir

Najib kutuk terrorisme

Oleh BERNAMA

Riyadh: Malaysia menyertai lebih 50 negara Islam di Sidang Kemuncak Riyadh pada Ahad untuk memberi isyarat kepada dunia bahawa mereka bersatu dalam menghapus terrorisme. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata dunia perlu diingatkan bahawa pemimpin Islam yang menghadiri mesyuarat itu mengutuk sepenuhnya terrorisme dan dasar pelampau ganas.

“Dunia tidak perlu ragu bahawa kita berdiri teguh bersama masyarakat antarabangsa dalam perang menghapus kedurjanaan ini,” katanya pada perhimpunan itu yang turut dihadiri Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Sidang Kemuncak Arab-Islam-AS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Raja Abdulaziz.

Ketika mengucapkan terima kasih kepada Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, atas inisiatifnya menjadi hos kemuncak itu, Najib berkata perhimpunan itu menghantar isyarat kepada masyarakat dunia mengenai usaha bersatu negara Islam dalam menentang terrorisme.

Bagaimanapun, Najib mengingatkan bahawa mesyuarat diadakan di rantau Asia Barat mengenai ketidakstabilan sekarang di rantau berkenaan menimbulkan perhatian berat kepada mereka.

“Rantau yang tidak stabil menjadi tapak subur untuk terrorisme berkembang,” katanya.

Menyasarkan perhatiannya kepada Iran, Najib berkata beliau sedar wujud kepercayaan meluas di rantau berkenaan bahawa Iran menyumbang kepada ketidakstabilan rantau berkenaan.

Ketika Malaysia menikmati dan menghargai hubungan baik dengan negara rantau itu, beliau berkata, Malaysia berpendapat Iran harus mengelakkan sebarang tindakan yang boleh ditafsir sebagai mencampuri urusan dalaman jirannya.

Ketika menarik perhatian terhadap soal terrorisme, Najib berkata perang menentang terrorisme bukan saja bersifat ketenteraan, tetapi juga memenangi hati dan fikiran.

Bagi tujuan ini, Najib berkata naratif berwibawa perlu disebarkan, di mana Islam dan kemodenan seiring, kemajuan material dan kepatuhan kepada agama selari dan pengetahuan agama dan persoalan saintifik berkaitan antara satu sama lain.

“Bagaimanapun, kita perlu menekan dan menguatkuasakan kisah kita supaya Islam yang sebenar diketahui di seluruh dunia dan pada masa sama kita selaraskan usaha menghapuskan Daish dan sekutunya,” katanya.

Najib juga berkongsi dengan perwakilan bahawa Kuala Lumpur tidak menghentikan usaha memerangi penyebaran radikalisasi menerusi pengenalan konsep ‘wasatiyyah’ (kesederhanaan) dan kewujudan Pergerakan Kesederhanaan Global.

Bagi menguatkan hujahnya mengenai isu itu, Najib berkata program deradikalisasi Malaysia mencatatkan kejayaan 95 peratus dalam memulihkan bekas golongan ekstremis.

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 4:57am
d