mutakhir

Royalti untuk agama

Oleh Ardyhansah Amat

Kuala Lumpur: Semua wang royalti hasil penjualan buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata akan digunakan dalam aktiviti keagamaan bagi menghargai semangat perjuangan bangsa ketika rusuhan di Singapura, 67 tahun lalu.

Penulis buku berkenaan, Puan Sri Fatimi Yaakob berkata, semua urusan sumbangan berkenaan dilakukan menerusi Yayasan Kasih Tauhid (YKT), ditubuhkan khusus bagi mengendalikan royalti penjualan buku berkenaan yang kini mencecah lebih RM200,000.

“Selepas tujuh tahun buku ini diterbitkan, saya melihat kisah Natrah atau nama sebenarnya Maria Huberdina Hertogh membawa makna besar dalam penyatuan bangsa di Tanah Melayu ketika itu.

“Bayangkan, ratusan ribu penduduk Tanah Melayu sanggup berkumpul di Singapura bagi memperjuangkan nasib Natrah yang asalnya adalah gadis Belanda yang lahir di Indonesia,” katanya kepada media selepas sesi pembentangan Natrah: Imbasan Semula Selepas 67 Tahun, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) Budiman Mohd Zohdi dan Pengarah Urusan ITBM Mohd Khair Ngadiron.

Menurut Fatimi, Natrah adalah catatan sejarah yang menggemparkan negara kerana membabitkan pertembungan perundangan dua negara, agama dan budaya.

“Selepas tujuh tahun penerbitan buku ini, saya melihat kisah Natrah ini bukan saja membabitkan perjuangan hak penjagaan antara ibu angkat dan ibu kandungnya, sebaliknya membawa makna yang besar kepada penyatuan masyarakat kita ketika itu.

“Apabila berita mengenai Natrah yang dididik semula menjadi penganut Kristian di sebuah gereja di Singapura disebarkan dalam media penjajah ketika itu, ia menyaksikan kebangkitan penduduk Tanah Melayu yang turut sama cuba mempertahankan Natrah.

“Bayangkan, ribuan penduduk dari beberapa negeri di Tanah Melayu sendiri, sanggup berkorban masa datang ke Singapura demi mempertahankan gadis itu sehingga menyebabkan rusuhan berlaku,” katanya.

Menurut beliau, kebangkitan penduduk Tanah Melayu ketika itu bukan disebabkan Natrah itu sendiri, sebaliknya terhasil atas nama perjuangan agama dan bangsa apabila pihak penjajah mula memainkan sentimen keagamaan.

“Malah, bukan saja masyarakat Melayu dan Islam, rusuhan di Singapura itu juga mendapat kerjasama kaum Cina dan India yang bersama-sama berjuang.

“Justeru, adalah wajar sekiranya royalti penjualan buku Natrah ini dapat digunakan ke arah perjuangan agama selepas mengambil kira titik mula peristiwa lebih enam dekad itu,” katanya.

Fatimi berkata, sumbangan akan disalurkan kepada mana-mana aktiviti keagamaan di dalam atau luar negara tanpa terbatas kepada agama Islam saja.

“Bantuan juga boleh disalurkan kepada sekolah atau badan kebajikan lain, yang selari dengan perjuangan masyarakat terdahulu ketika peristiwa Natrah berlaku,” katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 4:59am
d