mutakhir

Lori lebih muatan cat terbalik

Oleh Omar Osman

Sungai Petani: “Saya beritahu mereka (pekerja stor), tong cat yang dimuat naik ke dalam lori itu terlalu banyak, nanti lori boleh terbalik. Tapi mereka kata tak mengapa dan boleh jalan,” kata pemandu lori yang mahu dikenali sebagai Tan, 50-an.

Akibat membawa muatan berlebihan, lori dipandunya terbalik berhampiran persimpangan lampu isyarat Sungai Pasir-Padang Temusu, di sini, semalam.

Menurut Tan, dalam kejadian jam 9.45 pagi, dia memandu lori dari Plaza Tol Sungai Petani Selatan menuju Padang Temusu, namun ketika membelok ke kiri, secara tiba-tiba lori senget ke kanan dan terbalik menyebabkan puluhan tong cat bertaburan di atas jalan.

“Semua tong cat jatuh dan bertaburan atas jalan, sebahagiannya pecah sehingga jalan dipenuhi cat.

“Saya terselamat dan keluar dari lori melalui cermin hadapan yang pecah.

“Sebahagian tubuh saya dipenuhi cat yang pecah dari awal lagi ketika mengisi tong cat ke dalam lori,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani Shahrim Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian terbabit jam 10.13 pagi dan bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera dan lima anggota.

Katanya, sebaik tiba, pihaknya mendapati lori kecil membawa tong cat terbalik.

“Tindakan segera diambil anggota bomba dengan membersihkan kawasan dipenuhi cat dan operasi tamat jam 11.58 pagi,” katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 5:52am
d