mutakhir

Derita hidup tanpa bumbung

Oleh Zairee Mohd Yasak

Kuala Kurau: Seorang warga emas buntu apabila rumahnya yang rosak akibat dilanda ribut dua bulan lalu di Kampung Parit Tok Kip, di sini, belum dibaiki sehingga kini.

Md Sabli Arshad, 70, berkata, keseluruhan bahagian dapur rumahnya kini hanya dilitupi kanvas dan digenangi air setiap kali hujan.

Katanya, pada 24 Mac lalu, bumbung dapur rumahnya diterbangkan ribut menyebabkannya kerugian lebih RM5,000.

“Saya buat laporan polis dan kemukakan permohonan bantuan membaik pulih bumbung rumah ke Pejabat Penghulu Mukim Kuala Kurau dan ketua kampung selepas kejadian ribut itu.

“Susulan kejadian itu, banyak pihak hadir meninjau keadaan rumah saya dan wakil agensi kerajaan berkaitan memaklumkan saya tidak perlu risau serta memberi jaminan kos baik pulih ditanggung mereka.

“Selepas dua bulan, kerosakan itu gagal dibaik pulih menyebabkan saya menutup sementara dengan kanvas,” katanya, di sini, kelmarin.

Md Sabli berkata, dia bingung memikirkan janji pihak berkenaan memandangkan sehingga kini jawapan diberi ialah permohonannya masih diproses.

Menurutnya, kos membaik pulih keseluruhan bumbung dianggar mencecah RM5,000 dan dia mengakui tiada wang sebanyak itu.

“Saya tidak lena tidur memikirkan tidak lama lagi Ramadan dan keadaan rumah kami masih terbengkalai.

“Sebelum ini, ada juga penduduk mengutip dana bagi meringankan beban kami membaik pulih sendiri namun jumlahnya tidak mencukupi,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Penghulu Mukim Kuala Kurau ketika dihubungi memaklumkan tidak pernah mengemukakan jaminan membaik pulih segera kerosakan bumbung rumah keluarga mangsa ribut terbabit seperti didakwa.

Katanya, permohonan membaik pulih bumbung rumah Md Sabli sudah dihantar kepada Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan dan sedang diproses.

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 6:02am
d