mutakhir

'Teruja terima kunjungan tuanku' [METROTV]

Oleh Nur Izzati Izzah Nadzi

Sekinchan: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melawat rakyat di negeri itu, semalam.

Baginda turut diiringi Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sultan Sharafuddin tiba di Restoran Hao Xiang Chi Seafood jam 9.30 pagi dan meluangkan masa di Ah Ma House sebelum berangkat ke Galeri Padi serta ke kilang KHIND, seterusnya ke Wisma Masri untuk santapan tengah hari bersama rakyat.

Sementara itu, pengusaha Bahulu Masri Musleha Zainuddin, 37, berkata, dia bangga dan bersyukur kerana Sultan Sharafuddin datang ke Wisma Masri milik keluarganya yang mengusahakan produk industri kecil dan sederhana (IKS) sejak 1992.

“Saya sangat teruja menerima kunjungan Tuanku yang prihatin dan berjiwa rakyat. Bukan senang baginda mahu mencemar duli ke sini.

“Jadi, dengan kunjungan ini dapatlah baginda melihat sendiri aktiviti ekonomi rakyat di sini yang pada asalnya berniaga secara kecil-kecilan sehingga berjaya mempunyai pusat jualan lengkap.

“Selain itu, kuih tradisional seperti baulu yang diperkenalkan keluarga sejak turun-temurun ini sebagai tarikan kepada pelancong sehingga Sekinchan menjadi destinasi pelancongan,” katanya, semalam.

Menurutnya, produk IKS yang dikeluarkan syarikatnya secara tidak langsung dapat menjana pendapatan penduduk setempat khususnya wanita.

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 6:39am
d