mutakhir

Kes ditangguh 5 Julai depan

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

MAHKAMAH Sesyen Rasuah Johor Bahru, hari ini, menangguhkan kes bekas Exco Johor dan seorang perunding hartanah yang didakwa masing-masing dengan 33 pertuduhan rasuah membabitkan RM30.3 juta kepada 5 Julai ini bagi pengurusan kes sebelum penetapan tarikh bicara.

Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir menetapkan tarikh itu selepas membenarkan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan meneliti semua dokumen sebelum memulakan perbicaraan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khazrin Haffiz Khalil terdahulu memberitahu semua dokumen berhubung kes itu sudah diserahkan kepada kedua-dua tertuduh, Datuk Abd Latif Bandi, 51, dan Amir Sharifudin Abd Raof, 43.

"Dokumen sudah diserahkan kepada tertuduh semalam dan sebilangannya diserahkan pagi ini.

"Memandangkan kes ini membabitkan sejumlah dokumen yang banyak, maka pihak kami memohon satu tarikh lain untuk menyemak semula dan meneliti dokumen sebelum perbicaraan ditetapkan," katanya.

Pada prosiding semalam, Abd Latif diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin, Datuk Khairul Anwar Rahmat, Abdul Rahim Ali, Ibrahim Haikal Razak dan Hafez Zalkapli, manakala Amir Sharifudin diwakili peguam Azrul Z Stork dan Hazza Khalid.

Terdahulu, Abd Latif dan Amir Sharifudin tiba di mahkamah kira-kira 8 pagi sebelum prosiding bermula jam 9.30 pagi.

Pada 19 April lalu, Amir Sharifudin mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan menerima rasuah daripada beberapa individu sebagai upah untuk dirinya dan Abd Latif bagi mendapatkan kelulusan pelepasan rumah lot Bumiputera dan pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor membabitkan RM30.3 juta.

Abd Latif pula mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan bersubahat dengan perunding hartanah itu bagi melakukan perbuatan yang sama.

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 12:20pm
d