mutakhir

Dituduh curi, simpan Mercedes Benz E250

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Khairul Najib Asarulah Khan

DUA rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Port Dickson, hari ini, atas pertuduhan mencuri dan menyimpan kereta mewah, April lalu.

Tertuduh, Wong Yik Mun, 35, dan Chan Yuk Ting, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.

Mengikut pertuduhan, Wong didakwa melakukan pencerobohan bangunan dan mencuri Mercedes Benz E250, empat jam tangan dan sebuah telefon bimbit milik Ngooi Soo Hang, 45, di Bandar Dataran Segar, Port Dickson, pada 10.55 pagi, 28 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Chan pula dituduh menyimpan atau menerima harta curi iaitu Mercedes Benz E250 dan tiga jam tangan di sebuah kondominium di Bandar Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor, pada 10.30 malam, 29 April lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya A Ashwini manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,800 seorang dan menetapkan 19 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 2:17pm
d