mutakhir

Selamat bertugas buat imam muda

Oleh Shahrinnahar Latib

SERAMAI 12 pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) akan dihantar bertugas sebagai imam sepanjang Ramadan di Sweden, Amerika Syarikat dan Australia.

Pengarah MTNP Datuk Zulkifle Ali al-Hafiz berkata, penghantaran pelajar terbabit adalah sebahagian daripada program praktikal dan strategi memperkenalkan pusat pengajian itu di peringkat global.

"Program ini dijalankan dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat, Swedish Muslims For Peace and Justice, Persatuan Muslim di Sweden dan Jabatan Penuntut Malaysia di Australia.

"Sepanjang di negara berkenaan, pelajar bukan saja bertugas sebagai imam solat Tarawih, malah turut mengendalikan program kepimpinan, kelas fardu ain dan menyampaikan khutbah Jumaat," katanya ketika ditemui di Yayasan Pahang di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, pelajar dipilih bukan saja menghafaz 30 juzuk al-Quran, tetapi kecemerlangan akademik, kemahiran berkomunikasi dan sahsiah diri turut diberi keutamaan untuk mereka berada di sana selama sebulan.

"Mereka berusia antara 16 hingga 26 tahun dan program ini akan berjalan selama 33 hari bermula esok sehingga 25 Jun ini.

"Program ini juga mampu membina jalinan kerjasama dengan penuntut dalam pelbagai disiplin ilmu di luar negara," katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 6:17pm
d