mutakhir

10 media sertai #QuranHour

Oleh Ayusliza Azizan

Shah Alam: Bagi menyokong inisiatif Sejam Bersama al-Quran, Malaysia #QuranHour, sebanyak 10 agensi media cetak, elektronik dan sosial di negara ini bergabung bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) untuk bersama-sama menganjurkan program yang bakal diadakan pada 24 Ramadan atau 19 Jun ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Antara media yang terbabit ialah akhbar Kumpulan Media Prima Berhad iaitu Harian Metro, Berita Harian, New Straits Times, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro, Bernama, Utusan Malaysia, Kosmo serta Sinar Harian.

Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, Yayasan WUI yang bernaung di bawah Kumpulan Media Karangkraf menggalakkan inisiatif baca, faham, amal serta berinteraksi dengan al-Quran melalui #AktifkanRumahNgaji.

“Melalui sinergi ini, kita percaya ia akan memberikan impak lebih besar berbanding tahun lalu.

“Setiap media ada peranan dan kekuatan masing-masing dan apabila semua bergabung dan jalankan kempen berkenaan (Malaysia #QuranHour) secara serentak dapat melahirkan gelombang besar.

“Ini bukan acara, tetapi kempen mengajak orang ramai meluangkan masa bersama membaca al-Quran,” katanya pada sidang media selepas perbincangan bersama wakil media di Kumpulan Media Karangkraf di sini, semalam.

Hussamuddin berkata, tahun ini adalah tahun ketiga pelaksanaan Malaysia #QuranHour atau sebelum ini dikenali sebagai #Malaysia Ngaji dan sasarannya kepada semua rakyat dalam dan luar negara.

Beliau berkata, pelaksanaan Malaysia #QuranHour bagaimanapun menjadi tular di media sosial sehingga mendapat 27 juta maklum balas.

Dalam pada itu, katanya, inisiatif menggalakkan orang ramai membaca al-Quran diteruskan dengan World #QuranHour yang akan dilaksanakan pada 9 Zulhjjah bersamaan 31 Ogos 2017 bagi mengambil momentum 10 hari terawal bulan Islam berkenaan.

Menurutnya, World #QuranHour menjadi wadah kempen untuk umat Islam di seluruh dunia, merefleksi diri bagaimana hubungan seseorang dengan al-Quran seterusnya mengatur langkah untuk bertindak mengeluarkan nilai mulia serta akhlak untuk menjadi muslim sejati.

“Tahun ini kami bawakan tema Malaysia #QuranHour iaitu Bangsa Berbudi dan Penyayang kerana mengambil sebahagian besar isi al-Quran mengenai Rahmah yang terdiri daripada nilai kasih sayang, belas kasihan, belas kasih, perikemanusiaan, kebaikan dan cinta serta prihatin dan empati, ” katanya yang juga Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.

Disiarkan pada: May 24, 2017 @ 1:19am
d