mutakhir

Amaran kepada peniaga naikkan harga barang

Oleh myMetro

Kuantan: Peniaga bazar Ramadan di negeri ini diminta tidak mengenakan harga melampau ketika kerajaan menetapkan 10 barangan disenaraikan dalam Skim Kawalan Harga (SKH) Ramadan 2017 berkuatkuasa Isnin lalu hingga 31 Mei ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pahang Alwi Abdul Hamid berkata, ini kerana pegawai penguatkuasa kementerian akan melakukan pemantauan di semua bazar Ramadan untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan sepanjang bulan itu.

Katanya, jika ada peniaga menaikkan harga yang tinggi dan dianggap tidak munasabah, pihaknya akan mengeluarkan notis terhadap mereka mengikut kesalahan dilakukan.

“Dalam menentukan harga makanan, peniaga sepatutnya mengenakan harga berpatutan, bukan menjadikan Ramadan untuk mengaut keuntungan berganda,” katanya pada sidang media selepas melancarkan SKH Ramadan 2017 di sebuah pasar raya, di sini, semalam.

Disiarkan pada: May 24, 2017 @ 1:27am
d