mutakhir

Suri rumah disaran amalkan prinsip 3L

Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Orang ramai terutama suri rumah dinasihatkan mengamalkan prinsip 3L iaitu tidak lalai, leka dan lupa sebagai langkah awal mengelak kebakaran ketika menyediakan juadah berbuka, sahur atau persiapan kuih raya sepanjang Ramadan ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Nazili Mahmood berkata, berdasarkan statistik kes kebakaran meningkat 30 peratus sepanjang Ramadan berbanding hari biasa.

Beliau berkata, bagi mengelak kebakaran, orang ramai perlu peka dengan mengutamakan keselamatan terutama di dapur atau ketika melakukan penyambungan elektrik.

“Sekiranya prinsip 3L tidak diamalkan, pelbagai kemungkinan akan berlaku kerana kebanyakan kes kebakaran berlaku berpunca daripada api di dapur.

“Oleh itu, saya nasihatkan orang ramai terutama suri rumah sentiasa menitik beratkan keselamatan dengan menjadikan prinsip 3L sebagai panduan,” katanya selepas merasmikan Latihan Pemantapan Pasukan Keselamatan Kebakaran (ERT) di Ibu Pejabat Balai Bomba dan Penyelamat Kelantan di Tunjung, di sini, semalam.

Disiarkan pada: May 24, 2017 @ 1:29am
d