mutakhir

Periksa 2,673 premis hari pertama

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

SEBANYAK 2,673 premis diperiksa oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di seluruh negara pada hari pertama pelaksanaan Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan 2017.

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, skim yang berkuat kuasa bermula 22 hingga 31 Mei itu adalah pertama kali dilaksanakan sempena Ramadan dan sebelum ini, ia menumpukan kepada pelaksanaan untuk musim perayaan.

“Hasil daripada pemeriksaan yang dibuat, satu aduan diterima berkaitan penyediaan tanda harga warna merah jambu manakala, dua kes sudah diambil tindakan iaitu di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

"Berikutan itu, kita melakukan rampasan bernilai RM133.50 manakala, kompaun RM100 dikenakan bagi setiap dua kes berkenaan dan kesalahan itu adalah berkaitan tanda harga warna merah jambu," katanya ketika pemeriksaan di pasar raya di pusat beli-belah di Putrajaya.

Pada 19 Mei lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata, 10 jenis barangan disenaraikan bagi Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan 2017 iaitu kacang tanah; kacang hijau; telur ayam gred A, B dan C, tepung gandum (kegunaan am); gula pasir putih bertapis kasar; gula pasir putih bertapis halus; kelapa biji dan kelapa parut.

Beliau dilaporkan berkata, pelaksanaannya bertujuan menyekat kenaikan harga tidak berpatutan dan mencegah amalan mencatut dalam kalangan peniaga menjelang dan ketika Ramadan.

Dalam pada itu, Mohd Roslan berkata, pihaknya melakukan pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan serta meminta peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.

Gambar Mohd Fadli Hamzah

Disiarkan pada: May 24, 2017 @ 1:40am
d