mutakhir

Reman dilanjutkan enam hari lagi [METROTV]

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

TEMPOH reman anggota polis berpangkat Koperal dan seorang pemandu van dilanjutkan enam hari lagi oleh Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini, bagi membantu siasatan kegiatan mengutip wang perlindungan daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di Melaka.

Perintah lanjutan reman yang bermula esok hingga 30 Mei itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman.

Rabu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan anggota polis berusia 52 tahun itu di rumahnya di kuarters Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka selain merampas sejumlah wang tunai kira-kira RM800,000 dalam stor di rumah itu.

Pemandu van yang ditahan pula dipercayai menjadi orang tengah dalam kegiatan itu.

Suspek ditahan SPRM Khamis lalu di Ibu Pejabat SPRM, di sini, kira-kira 9 malam selepas memberi keterangan.

Difahamkan, akaun bank suspek lelaki berusia 32 tahun itu digunakan untuk memasukkan wang perlindungan yang dibayar pengusaha pusat judi haram dan rumah urut sebelum diagihkan kepada yang lain.

Setakat ini 12 individu ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Disiarkan pada: May 24, 2017 @ 11:27am
d