mutakhir

BAKTI agih 57,000 kotak sumbangan hari raya

Oleh Idris Musa

BADAN Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) meneruskan tradisi tahunannya menyediakan sumbangan kepada anggota keselamatan negara yang bertugas pada Aidilfitri ini.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Yang Dipertua BAKTI berkata, kali ini pihaknya menyediakan sejumlah 57,000 kotak sumbangan hari raya membabitkan perbelanjaan sebanyak RM541,500.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 20,000 kotak sumbangan akan diberikan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 30,000 kotak kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 7,000 kotak lagi untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Tahun ini kita ada membuat sedikit kelainan iaitu set nasi beriyani, yang terdiri daripada nasi beriyani dan bawang goreng, ayam masak merah, dalca sayur dan acar buah," katanya pada Majlis Pembungkusan Sumbangan Hari Raya kepada Anggota Keselamatan Negara di Bangunan BAKTI Siti Hasmah di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Naib Yang Dipertua BAKTI Datin Seri Hamidah Khamis.

Pada majlis itu, Rosmah bersama ahli BAKTI menyiapkan pembungkusan sumbangan berkenaan.

Turut membantu pembungkusan itu anggota PDRM, ATM dan APMM, selain pelajar dari beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta belia daripada Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK) dan Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC).

Majlis perasmian penyerahan bungkusan sumbangan dijadual berlangsung di dewan berkenaan pada Selasa depan.

Disiarkan pada: May 24, 2017 @ 3:40pm
d