mutakhir

Geely Holding diumum rakan strategik PROTON

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) mengumumkan syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group (Geely Holding) sebagai rakan strategik bersama PROTON Holdings Berhad (PROTON).

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika berucap pada Majlis Memeterai Perjanjian Dasar antara DRB-HICOM dengan Geely Holding di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Johari berkata, menerusi perjanjian itu, DRB-HICOM mencapai persetujuan dengan Geely Holding bagi membolehkan syarikat itu membeli sebanyak 49.9 peratus saham PROTON.

"Pada masa sama, DRB-HICOM masih memegang majoriti di dalam PROTON iaitu sebanyak 50.1 peratus.

"Justeru, perjanjian ini akan membolehkan PROTON mendapat akses kepada pelbagai platform serta enjin di bawah Geely Holding di samping menembusi pasaran sedia ada pembuat kenderaan China berkenaan termasuk pasaran kereta di Asia Tenggara," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, jenama PROTON akan kekal dan bakal mengalami pertumbuhan ketara dengan kehadiran rakan strategik baru.

Geely Holding adalah pemilik Volvo Car Corporation dan The London Taxi Company, antara pengeluar utama kenderaan penumpang China.

Syarikat itu mempunyai operasi seluruh dunia merangkumi 16 kilang pembuatan, tujuh studio reka bentuk serta lima pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Kedua-dua pihak bakal menandatangani Perjanjian Muktamad pada Julai ini.

Disiarkan pada: May 24, 2017 @ 4:04pm
d