mutakhir

Isteri maut dirempuh dari belakang

Oleh Siti Nor Amirah Abu Bakar

ISTERI maut manakala suaminya patah tulang paha kanan selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar kereta di Jalan Teluk Piah Kanan, Kuala Selangor jam 11.15 malam tadi.

Dalam kemalangan itu, Azian Yem, 59, meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Tanjung Karang selepas motosikal jenis Modenas Kriss dinaiki bersama suami, Abd Rahman Talib, 53, dilanggar dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ruslan Abdullah berkata, mangsa dalam perjalanan dari Asam Jawa menghala ke Teluk Piah.

"Siasatan awal mendapati motosikal dinaiki kedua-dua mangsa dilanggar kereta jenis Toyota Vios dari belakang menyebabkan kedua-duanya terjatuh.

"Mayat mangsa sudah dituntut dan suaminya masih menerima rawatan di hospital," katanya.

Ruslan berkata, siasatan masih dijalankan termasuk mengesan pemandu yang tiada di lokasi ketika kejadian bagi membantu siasatan.

"Polis masih belum menerima laporan daripada pemandu kereta itu dan jika tiada laporan dibuat dalam tempoh 24 jam, kes boleh diklasifikasikan sebagai langgar lari," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: May 24, 2017 @ 4:45pm
d