mutakhir

Boleh buat rayuan

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

SEPULUH pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Parit, Perak yang dibuang selepas membuli enam pelajar sekolah terbabit 18 Mei lalu boleh mengemukakan rayuan jika mahu bersekolah di sekolah aliran biasa.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, rayuan boleh dibuat di Jabatan Pendidikan negeri pada bila-bila masa.

Katanya, sama ada mereka diterima atau tidak untuk meneruskan persekolahan akan ditentukan oleh jabatan berkenaan.

"Saringan akan dibuat seperti kebiasaan namun mereka dan ibu bapa boleh membuat permohonan rayuan.

"Berjaya atau tidak jabatan pendidikan akan tentukan kerana kita juga memahami mereka juga perlu diberi peluang untuk meneruskan pelajaran," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Parlimen Jelebu, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Dr Khir Mohd Yusof; Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias; dan Pengarah Pendidikan negeri Rusni Abd Jalil.

Mahdzir berkata, semua mereka dibuang berkuatkuasa hari ini selepas digantung sesi persekolahan minggu lalu.

Pada 18 Mei lalu, media melaporkan enam pelajar MRSM Parit menjadi mangsa buli, dipukul 10 senior kerana enggan meminjamkan kasut bola.

Kes itu membabitkan semua mangsa berusia 14 tahun, dipukul pelajar senior berumur 15 dan 16 tahun.

Disiarkan pada: May 25, 2017 @ 12:17am
d