mutakhir

11,000 Kotak Rezeki bakal diedar [METROTV]

Oleh Siti Fatimah Nasir

Kuala Lumpur: Harian Metro dengan kerjasama rakan penajanya akan mengedarkan 11,000 Kotak Rezeki ke 36 lokasi terpilih sepanjang Ramadan sempena program #HMKotakRezeki2017.

Program amal pek makanan untuk berbuka puasa dan barangan keperluan harian itu akan diagihkan kepada golongan kurang bernasib baik bagi meringankan beban mereka dalam menunaikan ibadah puasa.

Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar berkata, program itu salah satu daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat berterusan Harian Metro untuk membantu golongan memerlukan.

"Program amal ini sedikit berlainan daripada program kebajikan (induk) sebelum ini iaitu Titipan Kasih yang mana Harian Metro mendekati seluruh lapisan masyarakat terutama mereka yang perlu bertugas sewaktu umat Islam berbuka puasa bersama keluarga.

"Program kali kedua ini membabitkan sebanyak 10,000 Kotak Rezeki (kecil) yang mengandungi buah kurma, makanan dan minuman akan diedarkan kepada individu yang perlu bekerja melangkaui waktu berbuka puasa," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran itu di Theatrette, Anjung Riong, Balai Berita The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Bangsar, semalam.

Menurutnya, sebanyak 1,000 kotak rezeki besar yang mengandungi barangan runcit seperti minyak masak, beras, tepung, gula dan susu bakal diagihkan kepada keluarga miskin dan rumah kebajikan.

"Ini juga inisiatif berterusan dan penambahan program sempena Ramadan yang dilaksanakan sebelum ini menerusi Titipan Kasih yang turut menyasarkan golongan kurang bernasib baik.

"Diharap program #HMKotakRezeki2017 ini berjalan lancar dengan sokongan daripada pihak penaja dan kita juga berazam untuk meneruskan program ini pada masa akan datang yang banyak memberi manfaat kepada golongan kurang bernasib baik," katanya.

Program berkenaan mendapat kerjasama Affin Bank Group dan Affin Islamic Bank sebagai penaja utama manakala penaja lain termasuk Giant, Watsons Malaysia, Lifebuoy, Richwell, Massimo by The Italian Baker Sdn Bhd, Perfect Food Manufacturing (M) Sdn Bhd dan Pos Laju Malaysia.

Hadir ke majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Nazlee Khalifah, Ketua Kurier Pos Laju Malaysia Zumy Zuheidy Md Suhor, Pengarah Hal Ehwal Korporat Giant Roseta Mohd Jaafar, Ketua Pemasaran Watsons Malaysia Danny Hoh, Pengurus Jenama Lifebuoy Tan Feng Yin, Naib Yang Dipertua Richwell Nani Koraiza Yaacob, Penyelia Operasi Massimo by The Italian Baker Tajul Ariffin Salleh dan Pengurus Pemasaran Perfect Food Manufacturing (M) Sdn Bhd Benny Chia.

Pengagihan Kotak Rezeki akan dibahagikan kepada empat zon secara berperingkat bermula 5 Jun depan.

Disiarkan pada: May 25, 2017 @ 5:29am
d