mutakhir

Putus tahaluf bukan putus silaturahim

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

PAS Selangor menjunjung kasih dan menghargai kepercayaan diberikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah serta berterima kasih atas pendirian PKR.

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi berkata, tiga Exco dan 10 wakil rakyat di negeri itu akan terus bekerja bersungguh-sungguh dan meneruskan kesetiaan serta khidmat cemerlang mereka bersama Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, semua Exco dan wakil rakyat kerajaan Selangor.

"Apa yang penting bagi kami, kepentingan rakyat dan kestabilan politik adalah keutamaan yang tiada tukar gantinya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, PAS Selangor menegaskan seperti sebelum ini bahawa keputusan memutuskan tahaluf politik adalah yang berkaitan dengan persediaan menghadapi pilihan raya umum dan tidak berkait dengan urus tadbir kerajaan negeri.

Beliau berkata, PAS Selangor juga berpendirian bahawa putus tahaluf bukan bermakna putus silaturahim, setiakawan atau hubungan kerjasama dalam melakukan kebaikan sebaliknya akan terus memperkukuhkannya.

"Sejak dari awal mandat rakyat ini diperolehi melalui Kerajaan Pakatan Rakyat pada Mei 2013, PAS Selangor teguh dan setia bersama-sama dengan semua Menteri Besar yang diperkenankan Tuanku Sultan Selangor.

"Sama ada ketika Selangor dipimpin Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (bekas Menteri Besar) apatah lagi dengan Menteri Besar sekarang (Mohamed Azmin), PAS Selangor percaya bahawa kesetiaan dan keyakinan terhadap pemimpin yang diperkenankan Tuanku Sultan adalah asas penting untuk memastikan kestabilan politik dapat dipelihara dengan baik dan pada waktu sama kepercayaan rakyat dapat dilaksanakan dengan jayanya," katanya.

Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan kedudukan tiga wakil PAS dalam Exco kerajaan Selangor dikekalkan sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Baginda bertitah, keputusan itu demi kepentingan rakyat dan usaha pembangunan negeri itu terus dilaksanakan.

Kemelut hubungan antara PAS dan PKR mencapai kemuncak apabila Majlis Syura Ulama PAS baru-baru ini memuktamadkan keputusan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR seperti yang diluluskan dalam muktamar tahunan PAS akhir bulan lalu.

Susulan itu PKR mengarahkan semua lantikan politik dari parti itu dalam pentadbiran Kerajaan Kelantan melepaskan jawatan serta-merta.

Ia diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik PKR yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Disiarkan pada: May 25, 2017 @ 12:16pm
d