mutakhir

Bapa Fimie diserang angin ahmar

Oleh Sudirman Mohd Tahir

BAPA kepada pelakon Fimie Don iaitu Saedon Abdul Rani, 56, dimasukkan ke Hospital Kuala Kangsar, Perak akibat diserang angin ahmar, Jumaat lalu.

Fimie, 19, yang dikenali menerusi filem Magika dan siri Hikayat Putera Shazlan berkata, serangan angin ahmar itu menyebabkan bapanya lumpuh di bahagian kanan badan.

"Ini kali kedua bapa diserang angin ahmar. Kali pertama pada September tahun lalu. Melihat keadaannya, saya memang agak bimbang.

“Apa yang saya boleh lakukan adalah terus berdoa dan memberikan kata-kata semangat. Walaupun dia belum boleh bercakap, tetapi saya nampak usahanya untuk berkata sesuatu," katanya.

Menurut Fimie, dia terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Kuala Kangsar kerana terbabit dalam penggambaran drama.

"Pada hari bapa diserang angin ahmar, saya sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur selepas selesai urusan pekerjaan di sana. Nampaknya Allah menguji kami dengan berita ini.

"Kami mahu memindahkan bapa ke Hospital Sungai Buloh, tetapi keadaan kesihatannya belum mengizinkan. Jadi, dia perlu dirawat di Hospital Kuala Kangsar lagi.

“€œBuat masa sekarang ibu menemaninya di sana. Saya dan adik-beradik serta ahli keluarga lain akan berulang-alik melawatnya," katanya.

Menurut Fimie, keadaan bapanya sekarang lebih baik berbanding hari pertama dimasukkan ke hospital.

Dalam pada itu, Fimie turut menafikan bapanya berada dalam keadaan tenat seperti didakwa segelintir pihak.

“€œSaya pun terkejut apabila dimakluman mengenai perkara itu.

"Saya selalu pesan kepada bapa. Apa yang berlaku adalah ujian dan anggapnya sebagai penghapus dosa kecil," katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2017 @ 2:43pm
d