mutakhir

Serangan saling berkaitan

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Suraya Roslan

SERANGAN yang berlaku di stesen bas di Kampung Melayu Jakarta Timur dan Bandar Marawi, Mindanao, Filipina dipercayai saling berkaitan.

Pengarah Institut Kajian Penyelidikan Strategik Malaysia (MyRISS) Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, serangan di kedua-dua kawasan itu jelas didalangi militan Daish.

Menurutnya, arahan terbaru pemimpin Daish Abu Bakar al-Baghdadi yang berpusat di Syria adalah mengarahkan anggotanya pulang ke negara masing-masing bagi melakukan serangan.

“Ini jelas dengan insiden yang berlaku di Jakarta Timur dan serangan yang sedang meletus di bandar Marawi.

“Serangan di Marawi didalangi kumpulan Maute yang diketahui sudah berbaiah dan menyatakan taat setia kepada Abu Bakar,” katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

Memperincikan serangan yang berlaku di stesen bas di Jakarta Timur itu, Mohd Mizan berkata, serangan itu dilakukan penduduk tempatan.

“Kebanyakan anggota Daish yang berada di Indonesia sebenarnya terdiri daripada mereka yang mendapat latihan ketenteraan. Saya tidak menolak kemungkinan, dua individu yang melakukan pengeboman berani mati itu mendapat latihan di Syria ataupun di selatan Filipina,” katanya.

Dalam kejadian itu, lima maut iaitu tiga polis dan dua pengebom berani mati serta mencederakan 10 yang lain dalam serangan di stesen bas yang menjadi nadi utama pergerakan di Jakarta Timur kira-kira 9 malam tadi.

Dua letupan kuat dilaporkan berlaku dan kini polis Indonesia sedang melakukan siasatan lanjut di kawasan kejadian serta dimaklumkan, identiti kedua-dua suspek sudah dikenal pasti.

Disiarkan pada: May 25, 2017 @ 3:53pm
d