mutakhir

Jodoh sehidup semati إِنَّا للهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

Oleh Farah Suhaidah Othman

SUAMI isteri warga emas maut selepas kereta jenis Perodua Kelisa dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit di Kilometer 3, Jalan Bota Kanan-Parit dekat Kampung Padang Tenggala, Bota, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa Iman @ Othman Ahmad, 78, dan Asah Hashim, 67, meninggal dunia selepas kedua-dua mereka tersepit di tempat duduk kenderaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki kedua mangsa dalam perjalanan dari Parit menghala ke Bota Kanan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan sebelum masuk ke dalam parit.

"Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohamad Zainal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: May 25, 2017 @ 5:52pm
d