mutakhir

Ambil tindakan tak kira jawatan

Oleh Idris Musa

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumpamakan usaha membanteras gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam seperti memotong tangan dan kaki yang mengalami diabetes.

Menurutnya, dalam membanteras gejala itu beliau tidak memilih bulu ataupun tidak mengambil kira apa saja jawatan pegawai terbabit.

"Saya tidak kira apa jawatan pegawai itu. Saya tidak berasa malu mengambil tindakan terhadap pegawai yang harapkan pegar, pegar makan padi.

"Kita mesti bersih dan kelihatan bersih, supaya persepsi berubah dan kebolehpercayaan (dalam kalangan rakyat) meningkat," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama peserta Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis bersama kumpulan yang akan berkhidmat dalam skim Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) itu bertujuan menyediakan wacana ilmiah, perkongsian pengetahuan serta pengalaman secara lebih inklusif dan terbuka.

Seramai 378 peserta terbabit dalam program itu dengan 271 daripadanya berkelulusan sarjana muda, 105 sarjana dan dua ijazah kedoktoran.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan, kerajaan komited berusaha bukan saja dalam bidang ekonomi tetapi turut membabitkan hal keselamatan.

Menurutnya, kerajaan mahu keharmonian dalam kepelbagaian dan menolak sebarang bentuk radikalisme, ekstremisme dan militanisme.

Berucap bawah tajuk Ekspektasi Stakeholders Terhadap Penjawat Awam, beliau juga mengingatkan peserta terbabit agar mengutamakan semangat Malaysia apabila berkhidmat dan menterjemahkan komitmen dengan sepenuhnya.

Katanya, pegawai PTD mesti menunjukkan sifat wala (cinta dan setia) mereka pada kerajaan selain mempertahankan profesionalisme mereka.

"Bekerja dengan kuat dan bijak. Jangan terbuai dengan penyalahgunaan kuasa dan wang. Tolak rasuah," katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2017 @ 9:37pm
d