mutakhir

Maute dibedil

Filipina: Pasukan keselamatan Filipina melancarkan serangan di selatan negara itu terhadap kumpulan pengganas Maute yang dilaporkan menculik tebusan dan membunuh sekurang-kurangnya 11 orang awam.

Dalam insiden itu, sekumpulan lelaki bersenjata yang melafazkan janji setia kepada kumpulan Daish kini menguasai Bandar Marawi memaksa supaya Presiden Filipina Rodrigo Duterte menghentikan undang-undang tentera yang dikuatkuasakan di seluruh Mindanao.

Pihak berkuasa negara itu menegaskan usaha menamatkan krisis berkenaan sukar walaupun hanya 30 hingga 40 pengganas bersenjata berikutan tindakan mereka bergerak secara senyap dari rumah ke rumah dengan memasang bom di jalanan dan menahan tebusan.

Memetik laporan AFP, ketegangan pertempuran itu berlaku secara berterusan setiap hari dan pihak tentera mendakwa sudah menjatuhkan bom di kawasan kejiranan itu.

Jurucakap tentera Leftenan Kolonel Jo-Ar Herrera berkata, mereka menggunakan kaedah serangan udara di Marawi berhampiran bangunan kerajaan di kawasan berkenaan.

Katanya, kebanyakan 200,000 penduduk Marawi sudah melarikan diri dari bandar kira-kira 800 Kilometer di selatan Manila itu selepas kawasan berkenaan diisytiharkan sebagai kawasan darurat.

“Pihak tentera sudah mengarahkan semua penduduk Marawi untuk berpindah ke tempat selamat dan sentiasa berada di dalam rumah.

“Setakat ini lima tentera, dua anggota polis dan 13 militan terbunuh dalam pertempuran selama tiga hari,” katanya.

Herrera berkata, dua orang awam turut terbunuh di dalam hospital yang dikawal pengganas Selasa lalu manakala pihak tentera masih menyiasat laporan sembilan orang awam dibunuh di kawasan dikuasai militan.

Sebelum ini, rangkaian televisyen tempatan menyiarkan imej sembilan mayat yang diikat dengan kesan puluhan das tembakan.

Pertempuran meletus Selasa lalu selepas pasukan keselamatan menyerbu sebuah rumah yang dipercayai tempat persembunyian Isnilon Hapilon, pemimpin Abu Sayyaf yang terkenal dengan kegiatan penculikan untuk wang tebusan dan ketua Daish di Filipina.

Amerika Syarikat (AS) meletakkan Isnilon sebagai pengganas paling dikehendaki dengan tawaran sebanyak AS$5 juta (RM21.3 juta).

Serbuan itu bagaimanapun tidak berjaya apabila mendapat tentangan kumpulan Maute yang memberi perlindungan kepada Isnilon.

Gabenor wilayah itu Mujiv Hataman mendakwa kumpulan militan menyerbu dua penjara dan membebaskan lebih 100 banduan.

Selain itu, mereka turut membakar bangunan termasuk gereja dan universiti.

Disiarkan pada: May 26, 2017 @ 5:25am
d