mutakhir

PNB bayar zakat perniagaan RM17.2 juta

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) menyerahkan pembayaran zakat perniagaan bagi 2013 hingga 2016 berjumlah RM17.2 juta kepada Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Cek zakat perniagaan itu disampaikan Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Putrajaya hari ini.

Zakat perniagaan oleh PNB tidak meliputi agihan pendapatan untuk pemegang akaun unit amanah yang melabur dalam tabung dikendalikan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata, zakat yang diterima diagihkan kepada asnaf di seluruh Kuala Lumpur.

"Kira-kira 22,000 asnaf di seluruh Kuala Lumpur dan hampir RM200 juta bantuan zakat diagihkan kepada pendeposit terbabit pada setiap bulan.

"Jumlah agihan bulanan zakat ini tidak termasuk 28 skim bantuan di bawah MAIWP seperti bantuan pendidikan, pakaian sekolah dan biasiswa kepada yang memerlukan," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Disiarkan pada: May 26, 2017 @ 12:53pm
d