mutakhir

Iesa, Joni, Yati dituduh menipu

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SEORANG lelaki tempatan dan dua warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, atas pertuduhan menipu tiga wanita tempatan untuk menebus hadiah loteri.

Iesa Mohd Yusoff, 44, dan warga Indonesia, Joni, 45, serta Yati, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Zaki Abd Rahman.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menipu tiga wanita kononnya mereka memenangi hadiah pertama cabutan loteri lalu meminta mangsa menebusnya dan mendorong mangsa mengeluarkan wang dari akaun bank serta menyerahkan barang kemas membabitkan kerugian RM17,800.

Perbuatan berkenaan dilakukan di tiga lokasi berasingan di daerah ini, pada 17 Disember 2016, 4 April dan 5 Mei lalu.

Oleh itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Soo Kok Weng manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili A Partheeban.

Mohd Zaki membenarkan tertuduh diikat jamin RM11,300 setiap seorang dan memerintahkan Joni serta Yati menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Beliau kemudian menetapkan 20 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: May 26, 2017 @ 3:21pm
d