mutakhir

Rumpai laut beri pulangan lumayan

Oleh Hamzah Osman

DUA puluh nelayan yang juga ahli Persatuan Pengusaha Rumpai Laut Langkawi (PPRLL) mampu memperoleh pendapatan lebih RM3,000 sebulan menerusi projek penternakan rumpai laut yang bakal bermula di Pulau Gasing, Langkawi, di sini, dalam tempoh terdekat.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sains dan Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Madya Dr Ramzah Dambul berkata, projek itu dilaksanakan menerusi inisiatif Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi yang diperkenalkan oleh Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia (Bioeconomy Corporation) dan disokong MOSTI.

"Projek perintis ini disertai 20 nelayan membabitkan lebih 100 sangkar rumpai laut dengan kapasiti maksimum 700 kilogram setiap sangkar akan bermula di Pulau Gasing sebelum diperluaskan ke seluruh kepulauan Langkawi.

"Kita yakin projek itu mampu menjana pendapatan RM3,000 sebulan kepada setiap peserta, sekaligus menjadikan Langkawi sebagai hab industri rumpai air," katanya ketika melancarkan projek itu di Pantai Tanjung Rhu, di Langkawi, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Syed Agil Syed Hashim.

Disiarkan pada: May 26, 2017 @ 4:47pm
d