mutakhir

Minyak masak subsidi dirampas

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

AGENSI Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis berjaya rampas 1,100 kotak mengandungi 17,800 bungkus minyak masak satu kilogram bersubsidi pelbagai jenama di Kilometer 24 Jalan Pauh-Padang Besar bernilai RM44,880 hari ini.

Komander AKSEM Perlis, Superintedan Syed Basri Syed Ali berkata, dua buah lori tiga tan masing-masing ditahan dalam satu sekatan jalan raya jam 7.30 pagi.

Katanya, sesudah pemeriksaan terperinci dilakukan terhadap dua buah kenderaan terbabit didapati membawa muatan minyak masak sebanyak 550 kotak setiap lori.

"Hasil pemeriksaan terperinci mendapati lori terbabit dipandu warga tempatan bersama seorang kelindan berusia antara 24 hingga 39 tahun.

"Muatan minyak masak bersubsidi yang dibawa tidak mempunyai dokumen kebenaran dan pemandu hanya mengemukakan resit bertulis tangan," katanya dalam satu sidang media di Kompleks AKSEM Chuping, di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau keduanya sekal.

Disiarkan pada: May 26, 2017 @ 8:09pm
d