mutakhir

Jumpa tengkorak manusia dalam pakaian terbiar

Oleh myMetro

Limbang: Seorang lelaki menemui tulang dan tengkorak manusia di celah helaian pakaian terbiar di kawasan semak di Jalan Pelupusan Sampah, Kampung Batu Bakarang, di sini, Rabu lalu.

Tengkorak dan tulang manusia itu ditemui jam 5.45 petang sebelum penemuan terbabit dimaklumkan kepada ketua kampung untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintendan Mohd Bukhori Saffai berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu jam 6.12 petang sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi terbabit.

Menurutnya, ketika di lokasi terbabit, pihaknya menemui tengkorak manusia bersama tulang pada pakaian yang hampir reput di kawasan semak di jalan berkenaan.

“Siasatan mendapati mayat berkenaan reput keseluruhannya dan dipercayai terbiar di lokasi kejadian untuk tempoh yang sangat lama.

“Polis juga menemui tali nilon yang diikat pada ranting pokok berdekatan rangka berkenaan dipercayai digunakan individu terbabit untuk menggantung diri,” katanya.

Mohd Bukhori berkata, pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian tidak menemui dokumen pengenalan diri yang membolehkan polis mengenal pasti identiti rangka berkenaan.

Disiarkan pada: May 27, 2017 @ 3:25am
d