mutakhir

Rakyat Malaysia di Mesir selamat

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

KEDUTAAN Besar Malaysia di Kaherah mengesahkan setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan cedera di dalam insiden serangan bersenjata ke atas kenderaan yang membawa penganut Kristian Coptic di Wilayah Minya, Mesir semalam.

Berdasarkan kenyataan Kementerian Luar dikeluarkan di Putrajaya hari ini, pihaknya melalui kedutaan di sana akan terus memantau perkembangan berkenaan insiden serangan itu.

"Justeru, Kementerian Luar mengingatkan rakyat Malaysia yang berada di Mesir supaya sentiasa berhati-hati dan peka terhadap keadaan keselamatan mereka.

"Sebarang pertanyaan atau bantuan boleh dikemukakan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah menerusi talian +20237610013, +201200276388 atau emel mwcairo@kln.gov.my," katanya hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan Malaysia turut merakam ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Mesir serta keluarga dan mangsa yang terbabit dalam insiden berkenaan.

"Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan bersenjata ke atas kenderaan yang membawa penganut Kristian Coptic di Wilayah Minya, Mesir," katanya.

Media antarabangsa melaporkan, kumpulan bersenjata yang memakai topeng menyerang satu rombongan Kristian Coptic yang dalam perjalanan ke sebuah asrama di gereja, membunuh 28 orang termasuk kanak-kanak di selatan Mesir.

Laporan itu turut memetik kenyataan Kementerian Kesihatan Mesir, seramai 25 lagi cedera dalam kejadian itu dan menurut saksi, kumpulan bersenjata itu menahan bas dan kenderaan lain dinaiki kumpulan berkenaan sebelum melepaskan tembakan.

Disiarkan pada: May 27, 2017 @ 5:22pm
d