mutakhir

'Mengapa perlu ditutup?'

Oleh BERNAMA

PERSATUAN ibu bapa dan pendidik (PIBP), hari ini, meminta kerajaan menimbang semula hasrat menutup Pusat Anak Permata Negara Batu Pahat (PAPN), di Batu Pahat.

Ini kerana khuatir ia mengganggu proses pembelajaran anak-anak.

Pengerusi persatuan, Mohd Aris Mohyi, 32, berkata sekalipun hasrat itu perlu diteruskan, kerajaan seharusnya mencari satu tapak baru bagi menempatkan semula PAPN itu.

“Sehingga ini, terdapat 33 kanak-kanak mengikuti pembelajaran dan kita bimbang apabila ia ditutup, pembelajaran akan terganggu.

“Selain itu, bukan mudah untuk mereka menyesuaikan diri apabila dimasukkan ke sekolah baharu, apatah lagi dengan yuran yang mahal, kita tidak akan mampu membayar,” katanya selepas mengadakan demontrasi bantahan secara aman.

Mohd Aris berkata, ramai daripada kanak-kanak terbabit sudah biasa dengan pendekatan pembelajaran di PAPN sehingga memperlihatkan perubahan ketara dalam aspek kecerdikan dan penjagaan diri.

“Ia memberikan kesan positif, jadi mengapa ia perlu ditutup?,” soalnya.

Arzizul Ab Rahman, 34, pula berkata notis penutupan pusat itu dikemukakan kepada PIBP pada 20 Feb lalu.

Ia menyatakan PAPN terpaksa ditutup kerana disahkan tidak selamat berikutan bangunannya sudah uzur dan tidak ekonomik untuk diperbaiki dan diselenggara.

Berikutan itu, Permata, katanya, menyarankan ibu bapa agar membuat perancangan awal untuk mengenal pasti penempatan baru bagi anak-anak meneruskan pembelajaran awal mereka.

“Kami faham alasan mereka (Permata), namun kami telah mencadangkan agar disediakan pula satu tapak baru bagi PAPN ini, sama ada di Jalan Kluang, Jalan Pantai dan Jalan Kenangan supaya tidak ramai yang terjejas,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Permata, Jabatan Perdana Menteri Datuk Shaidatu Akhma Hassan dalam satu surat bertarikh 28 Mac kepada persatuan terbabit berkata pihaknya telah memaklumkan penutupan itu kepada kerajaan negeri.

Ia juga memohon kerjasama Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mengenal pasti mana-mana premis kerajaan yang boleh dijadikan sebagai PAPN Batu Pahat yang baru.

“Permata tidak mempunyai kuasa untuk mengambil alih mana-mana premis tanpa kelulusan rasmi kerajaan negeri.

“Sekiranya kerajaan negeri bersetuju memberikan premis, Permata juga perlu menjalankan kerja pengubahsuaian dan menaik taraf dan ini dijangka mengambil masa lama,” katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2017 @ 8:59pm
d