mutakhir

Tawaran tunai haji

Oleh Safuri Kamarudin

Baling: Dua pemain bola sepak Kedah yang berasal dari Baling, Mohd Rizal Ghazali dan Syawal Noordin ditawarkan untuk menunaikan haji kerana sumbangan mereka dalam bola sepak di negeri ini sehingga berjaya merangkul Piala Malaysia 2016 dan Piala FA 2017.

Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, UMNO Baling bersetuju untuk membuka akaun Tabung Haji (TH) sebanyak RM10,000 bagi setiap seorang pemain terbabit.

Menurutnya, penduduk Baling berbangga dengan dua pemain anak jati daerah ini yang membantu kemenangan pasukan Kedah meraih dua piala terbabit.

“Kita juga berharap mereka terus bermain dengan bersungguh-sungguh untuk membawa pulang Piala Malaysia sekali lagi tahun ini ke Kedah.

“Ganjaran yang diberikan itu bagi menaikkan semangat, malah mereka sebagai ikon kepada anak-anak muda di Baling dalam sukan bola sepak,” katanya ketika ditemui meraikan dua pemain berkenaan serta kejayaan Kedah merangkul Piala FA yang dibawa ke daerah ini untuk dipertontonkan kepada penduduk Baling di Kupang, semalam.

Abdul Azeez berkata, UMNO Baling berbangga dengan kedua-dua anak muda itu kerana mampu menyarung jersi Helang Merah meskipun mereka dari daerah terpencil dan mampu bersaing di peringkat tinggi dalam bola sepak negara.

“Mereka perlu menjadi contoh kepada pelajar di peringkat rendah dan menengah kerana ramai barisan pelapis yang ada sekiranya digilap dengan baik,” katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2017 @ 3:23am
d