mutakhir

Letupan dari stor

Oleh Omar Osman

Sungai Petani: “Saya pada mulanya hanya terdengar bunyi letupan dari arah stor dan terkejut melihat api sedang marak,” kata pesara kerajaan Md Isa Abdul Rahman, 61, yang rumahnya terbakar, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, semalam, dua rumah teres setingkat di Taman Delima, di sini, masing-masing musnah 50 peratus dan 20 peratus dalam kebakaran.

Menurut Md Isa yang rumahnya terbakar 50 peratus, sebelum kejadian itu, dia dan isteri, Sabariah Adam, 61, sedang berehat di dalam bilik manakala dua anak perempuan di dalam bilik mereka dan seorang cucunya sedang bermain, tetapi secara tiba-tiba mereka terdengar bunyi letupan dari arah stor.

“Saya dan isteri bergegas pergi memeriksa apa yang berlaku namun terkejut melihat api sedang marak dari rak menyimpan barang dan cuba memadam dengan paip air namun gagal kerana api marak dengan cepat.

“Kami kemudian terpaksa menyelamatkan diri apabila api semakin marak dan sempat menyelamatkan beberapa dokumen penting sebelum menghubungi bomba,” katanya.

Md Isa berkata, semua barangan di dapur dan stor musnah namun dia bersyukur kerana mereka sekeluarga terselamat.

“Semua ini dugaan Allah, apa yang ada ini semua hak Allah namun mungkin ada hikmah daripada kejadian ini.

“Saya tidak tahu puncanya, tetapi api datang dari arah salah satu kotak simpanan barang selepas berlaku letupan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.56 pagi dan tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian.

Menurutnya, seramai dua pegawai dan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani dikejarkan ke lokasi kebakaran.

“Sebaik tiba, kita mendapati dua rumah teres sedang terbakar dan usaha memadamkan kebakaran segera dijalankan.

“Api berjaya dikawal pada jam 10.10 pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Nur Hafizah berkata, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan pihaknya.

Disiarkan pada: May 28, 2017 @ 3:27am
d