mutakhir

Sejam tarung nyawa

Oleh Azahar Hashim

Kulim: Seorang lelaki maut selepas Proton Wira Aeroback yang dipandunya terbabit kemalangan dengan kereta pacuan empat roda Toyota Hilux di Jalan Bagan-Padang Serai berhampiran simpang masuk Taman Mahsuri, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.55 malam, mangsa, Khairul Hafiz Azman, 23, dari Taman Mahsuri meninggal dunia di Hospital Kulim pada jam 1.30 pagi selepas lebih sejam menerima rawatan di wad kecemasan.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, siasatan mendapati mangsa yang memandu Proton Wira Aeroback dalam perjalanan dari Padang Serai menghala ke Bagan.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kereta mangsa hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 58 tahun.

“Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan orang ramai yang melihat kejadian menghubungi pasukan bomba untuk mengeluarkan mangsa,” katanya.

Ahmad Nasir berkata, pemandu Toyota Hilux cedera ringan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: May 28, 2017 @ 3:29am
d